Demi mendapatkan zuriat, Aminah bersama kakaknya, Azizah, menemui seorang bidan sepuh untuk berubat. Mereka datang dengan satu harapan, semoga ikhtiar itu membuahkan hasil. Namun, tanpa mereka sedari, ikhtiar tersebut telah membuka jalan kepada sebuah perjanjian yang mengikat Aminah dengan pantang dan sumpah daripada puteri-puteri penjaga gunung.
Dengan izin Allah, Aminah akhirnya hamil dan melahirkan anak kembar.
Seorang bayi perempuan lahir sempurna seperti yang diharapkan. Namun, seorang lagi hadir ke dunia dengan tubuh yang tidak pernah terbayang oleh sesiapa... ULAR.
Kehadiran bayi itu mengundang ketakutan. Zaki dan keluarganya tidak sanggup menerimanya lalu menyerahkan bayi tersebut kepada Mak Leha, bidan kampung yang menguruskan kelahiran Aminah. Berbeza daripada yang lain, Mak Leha menerimanya tanpa rasa jijik atau takut. Bayi itu diberi nama Punti dan dibesarkan dengan penuh kasih sayang.
Namun, ketika Punti menginjak usia sebelas tahun, takdir membawanya pergi. Seorang wanita yang tinggi ilmu dan penuh kewibawaan membawa Punti ke puncak sebuah gunung, jauh daripada kehidupan yang selama ini dikenalinya.
Dalam pada itu, saudara kembarnya, Sofiya, mula menanggung padah kerana melanggar pantang. Tubuhnya diserang penyakit misteri yang tidak mampu disembuhkan dengan perubatan biasa. Penawarnya hanya terdapat di sebuah dunia tersembunyi yang tidak pernah diketahui manusia.
Sofiya semakin menderita. Bukan sahaja menanggung kesakitan, dia turut dipulaukan dan dipandang hina oleh teman-temannya. Setelah segala ikhtiar untuk mencari penawar menemui jalan buntu, Sofiya mula kehilangan harapan.
Sehinggalah Fahmi muncul.
Pemuda itu tidak menjauhkan diri seperti yang dilakukan orang lain. Sebaliknya, dia memilih untuk menjadi teman Sofiya. Sedikit demi sedikit, senyuman yang telah lama hilang kembali menghiasi wajahnya.
Rentetan peristiwa itu akhirnya membangkitkan kemurkaan puteri-puteri penjaga gunung.
Kini, Aminah dan anak-anaknya diburu. Sumpah yang bermula daripada sebuah ikhtiar untuk mendapatkan zuriat kembali menuntut balasan. Satu demi satu musibah hadir, membawa mereka semakin hampir kepada sebuah rahsia yang telah lama tersembunyi.
Apakah sebenarnya perjanjian yang mengikat Aminah? Mengapa Punti dilahirkan dalam rupa ular? Siapakah wanita berilmu yang membawa Punti ke puncak gunung? Dan mampukah Sofiya terlepas daripada sumpah yang semakin menuntut balasan?
Inilah kisah Punti—sebuah kisah tentang sumpah, pantang dan takdir yang tidak pernah dapat dielakkan.
Tentang Penulis
Eyra Nazira ialah seorang penulis yang gemar mengangkat kisah kekeluargaan, misteri, legenda, fantasi dan unsur warisan Nusantara ke dalam dunia fiksyen. Baginya, sebuah cerita bukan sekadar hiburan, tetapi ruang untuk menyampaikan emosi, nilai kehidupan dan pengajaran yang dekat dengan pembaca.
Minatnya terhadap cerita rakyat, sejarah lisan, budaya masyarakat Melayu serta kisah-kisah kehidupan menjadi sumber inspirasi dalam menghasilkan karya yang menggabungkan unsur kekeluargaan, pengembaraan, misteri dan fantasi.
Melalui penulisannya, Eyra Nazira ingin menghasilkan cerita yang bukan sahaja menghiburkan, tetapi turut meninggalkan kesan dan sesuatu untuk direnungkan oleh pembaca.
PUNTI: SEKALI MELANGGAR PANTANG, BURUK PADAHNYA merupakan sebuah karya yang **diinspirasikan daripada kisah benar **dan dikembangkan menjadi sebuah kisah fiksyen yang menggabungkan kekeluargaan, legenda, sumpahan, alam yang tidak kasat mata dan perjuangan antara kebaikan dengan kejahatan.
Bagi Eyra Nazira, setiap kisah mempunyai jalannya sendiri. Ada yang bermula sebagai cerita, berkembang menjadi legenda, dan akhirnya hidup sebagai sebuah hikayat.